Saturday, October 16, 2010

Didikan Hati

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Setiap dari kita di kurniakan akal dan fikiran oleh Allah untuk membuat sesuatu pertimbangan dan urusan dalam kehidupan kita seharian,namun tanpa hati sesuatu yang kita lakukan itu tidak mungkin di pandu dengan baik kerana hati itu adalah raja di dalam tubuh kita yang ditugaskan Allah untuk memimpin dan mengendalikan akal dan fikiran kita sebagai mana telah di nyatakan dalam hadis di bawah.

Abu Hurairah dalam sebuah hadis;

"Hati adalah umpama raja dan anggota badan adalah sebagai pengawalnya. Apabila raja memerintah dengan baik, maka pengawalnya tentu bertugas dengan baik. apabila rajanya melakukan sesuatu yang tidak baik, maka sudah tentu pengawalnya pun begitu juga"

Hadis ini di kuatkan dengan sabda Rasulullah;

"Ketahuilah, sesungguhnya di dalam tubuh badan ada segumpal daging, apabila ia baik, maka baiklah seluruh badannya, dan sekiranya buruk, maka buruklah keseluruhannya. ketahuilah ia adalah hati" (Hadis Bukhari dan Muslim)

Setiap dari manusia di jadikan Allah dengan sebaik-baik kejadian,manusia melebihi dari segala mahkluk-mahkluk Allah yang lain dan manusia diberi Allah untuk memikul tanggungjawab sebagai khalifah di bumi ini sebagai mana firman Allah;

لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ فِىٓ أَحۡسَنِ تَقۡوِيمٍ۬ (٤)

Maksudnya:

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). (4)

Hati adalah pancaindera yang di kurniakan Allah dan ianya akan dipertanggungjawabkan dan disoal Allah kelak,apakah kita telah menggunakan ni’mat yang Allah berikan ini dengan betul mengikut kehendak dan perintah Allah ataupun sebaliknya,Allah berfirman:

وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌ‌ۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡـُٔولاً۬ (٣٦)

Maksudnya;

Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. (36)

Sekiranya hati kita ini dipandu dan dididik dengan kehendak Al-Quran dan As-sunnah,maka beruntunglah dan berbahagilah di akhirat kelak tetapi jikalau sebaliknya ayuh marilah kita sama-sama bermuhasabah dan kembali menuju ke jalan Allah supaya kita tidak akan menyesal di kemudian hari.

“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada jasad-jasad kalian dan tidak juga kepada rupa-rupa kalian akan tetapi Allah melihat kepada hati-hati kalian (dan amalan-amalan kalian)” (Hadits Riwayat Muslim).

Firman Allah;

يَوۡمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ۬ وَلَا بَنُونَ (٨٨)

إِلَّا مَنۡ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلۡبٍ۬ سَلِيمٍ۬ (٨٩)

Maksudnya;

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. (88) Kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik); (89)

(Al-Syuara:26)

يَـٰٓأَيَّتُہَا ٱلنَّفۡسُ ٱلۡمُطۡمَٮِٕنَّةُ (٢٧)

ٱرۡجِعِىٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً۬ مَّرۡضِيَّةً۬ (٢٨)

فَٱدۡخُلِى فِى عِبَـٰدِى (٢٩)

وَٱدۡخُلِى جَنَّتِى (٣٠)

Maksudnya;

Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! (27) Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)! (28) Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia (29) Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! / (30)

Dunia yang sementara

Pada masa kini kita lihat betapa ramainya manusia yang leka di dalam kehidupan seharian mereka malahan kerna asyik mengejar kemewahan dunia yang sementara itu mereka lupa dan alpha tentang urusan untuk mereka kembali ke sana yakni ke negeri yang abadi dan hakiki,hari akhirat. Kenapakah semua ini berlaku?? Apakah kita tidak memikirkan kenapa dan mengapa tujuan sebenarnya kita di jadikan Allah?? Allah berfirman di dalam Al-Quran;

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu". (Adz-Dzariyat:ayat 56)

Kenapa kita sering leka dan alpha pada perintah dan suruhan Allah?? Wahai semua sedarlah bahawasanya seketika nanti kita akan dipanggil dan di jemput pulang untuk mengadapNya. Kita semua akan dipersoalkan Allah di atas apa yang telah kita lakukan di dunia ini dan semestinya setiap daripada kita tidak akan terlepas malahan akan di tanya Allah satu demi satu adapun kesalahan yang sebesar zarah sekalipun berdasarkan firmanNYa;

“Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”

(Az-Zilzal:ayat 8)

Apakah urusan dunia itu terlalu penting pada kita sehinggakan kita sanggup mengabaikan urusan akhirat?? Dunia ini dijadikan Allah tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk kita mencari bekalan,ibarat kita bercucuk tanam dan suatu masa nanti kita akan memungut hasilnya. Begitulah di akhirat kelak,segala apa yang kita kejarkan dan cari di dunia ini tidak lain hanyalah untuk di tuai di sana nanti. Ukurlah dunia ini dengan neraca Allah bukan dengan neraca hawa nafsu kita semata-mata.Nabi bersabda:

"Jikalau dunia itu berharga dan bernilai walaupun sebesar dan seberat
sayap nyamuk di sisi Allah,maka tidaklah layak bagi orang yang kufur(kafir) itu mendapat walaupun setitik air"

Berdasarkan hadis ini jikalau dunia ini bernilai pada Allah walaupun seberat dan sekecil sayap nyamuk sekalipun nescaya orang yang tidak beriman dan bertakwa pada Allah dan RasulNya itu tidak layak sedikit pun untuk mereka mendapat ni’mat dari Allah. Tetapi apa yang kita saksikan di dunia ini Allah memberikan kepada semua mahkluk-mahkluknNya adapun mereka itu kufur pada Allah,bahkan kita lihat ada di antara mereka itu lebih senang dan kaya-raya daripada kita. Ini menunjukkan dunia ini di sisi Allah tidak lain ianya tidak sedikit pun bernilai di sisi Allah tetapi ini bukan bermakna Allah jadikan dunia itu sia-sia. Setiap apa yang Allah jadikan dan ciptakan itu semestinya ada manfaatnya tetapi di sini Allah ingin menggambarkan bahawa kita dijadikan oleh Allah bukan untuk mengejar dunia semata-mata tetapi memanfaatkan dunia untuk bekalan di sana nanti.

Janganlah kita terlalu leka,marilah kita sama-sama mengambil pengajaran dan ikhtibar dari apa yang telah Allah katakan,Allah berfirman;

"Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang bercampur-aduk dan berpaut-...pautan (pokok-pokok dan pohonnya) dengan sebab air itu hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni) dan penduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikan ia hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya)".(Yunus:ayat 24)

Saya menyeru terutamanya diri saya dan saudara-saudari semua supaya kita sama-sama mengambil manfaat dan pengajaran dari apa jua peringatan dan amaran-amaran yang di sampaikan Allah melalui Al-Quran dan Hadis-hadis nabi junjungan kita Muhammad saw semoga dengan itu kita semua mendapat keredhaan dan kebahagian hidup di dunia dan akhirat. Marilah kita semua kembali kepada Al-quran dan As-sunnah yang mana Nabi telah menjanjikan kepada kita selama mana kita berpegang kepada dua benda ini nescaya kita tidak akan sesat selamanya.

Wallahuta a’lam a’lam.