Kesan dosa dalam kehidupan
Hati sakit dan tidak normal
Antara kesan-kesan dosa dalam kehidupan kita salah satunya menjadikan hati kita sakit dan menjadi tidak normal. Hati yang sakit dan cacat menyebabkan tidak bermanfaat baginya makanan yang menjadi sumber kehidupan dan kemaslahatannya. Kesan dosa yang ada pada hati kita ini sama seperti kesan penyakit yang menimpa badan kita. Bahkan dosa-dosa yang banyak ini menyebabkan hati kita menjadi hitam dan mendatangkan pelbagai punca penyakit terhadap diri kita terutamanya di dalam mengabdikan diri kepada Allah SWT.
Penyakit-penyakit ini tidak ada penawarnya kecuali kita segera meninggalkan dan menjauhi segala punca-punca yang boleh membawakan kita melakukan dosa kepada Allah. Salah seorang ulama’ silam yakni Sheikh Sai’id Hawwa ada mengatakan tentang maksud “perjalanan menuju keredhaan Allah”. Beliau mengatakan “perjalanan menuju Allah ini ialah berpindah daripada jiwa yang tidak suci menuju jiwa yang suci bersih dan daripada akal yang tidak islamik menuju akal yang islamik dan daripada hati yang bersifat kafir,kufur,munafik,sakit atau kesat menuju hati yang memiliki ketenteraman(muthmainnah) dan sihat sejahtera…”
Ketahuilah sebenarnya hati manusia ini tidak akan dapat mencapai apa yang diingii dan dicita-citakannya kecuali apabila ia sampai kepada Tuhannya(Allah Azzawajalla). Hati yang sakit tidak akan sampai kepada Allah SWT. Untuk mencapai martabat seorang hamba yang benar-benar beriman kepada Allah maka manusia perlu mengubati hati mereka yakni dengan meninggalkan dosa bertaubat kepada Allah dan melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan hawa nafsu. Sebagaimana yang diketahui bahawa orang yang berjaya mencegah dan mengawasi dirinya dari hawa nafsu maka tempat kembalinya kelak adalah syurga,Allah berfirman;
وَأَمَّا مَنۡ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِۦ وَنَهَى ٱلنَّفۡسَ عَنِ ٱلۡهَوَىٰ (٤٠)
(٤١) فَإِنَّ ٱلۡجَنَّةَ هِىَ ٱلۡمَأۡوَىٰ
Maksudnya;
Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu; (40) Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya. (41)
No comments:
Post a Comment